Mengenal S.M.Naquib Al-Attas: Pemikiran dan Sumbangannya Selama Tiga Dekad



oleh

Khalif Muammar A. Harris
Akademi Kajian Ketamadunan
sumber



*FALSAFAH DAN AMALAN PENDIDIKAN ISLAM SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS:
Satu Huraian Konsep Asli Islamisasi
Oleh: Wan Mohd Nor Wan Daud.
Kuala Lumpur, Penerbit Universiti Malaya, 2005.
xii+404 halaman, indeks: 397-404. ISBN: 983-100-241-5.

Syed Muhammad Naquib al-Attas diakui sebagai sarjana ulung dan pemikir Muslim yang telah memberikan sumbangan besar dalam pemikiran Islam kontemporari dan pendidikan Islam. Idea dan pandangan beliau sering menjadi rujukan bukan saja oleh golongan mahasiswa tetapi juga oleh sebahagian besar para pakar dan cendekiawan pada hari ini. Ketokohan al-Attas ini, bukan sekedar disebabkan oleh kelangkaan titel Ph.D. yang diperolehinya pada tahun 1960an dari SOAS (School of Oriental and African Studies), Universiti London, tetapi ketokohan beliau sebenarnya adalah disebabkan oleh kemantapan pemikiran beliau dan pengalaman luas dalam dunia akademik dan intelektual. Pengalaman sebagai Profesor tamu di Universiti Temple; menjadi pemegang pertama Kursi Tun Abdul Razak untuk Pengajian Asia Tenggara di Universiti Ohio; peranan beliau dalam penubuhan beberapa institusi pendidikan di Malaysia; beliau jega telah membentangkan lebih 400 makalah ilmiah pada seminar dan konferensi antarabangsa; sebagai pencetus idea-idea besar semua ini telah mengangkat nama beliau setanding bahkan par excellence dengan pemikir-pemikir besar kontemporari.



Menyedari hal ini maka mengkaji pemikiran beliau menjadi suatu kemestian bagi sesiapa yang ingin mendalami pemikiran Islam dan pendidikan Islam. Kini dengan kemunculan buku Profesor Wan Mohd Nor Wan Daud dalam bahasa Malaysia ini masyarakat luas akan dapat membaca hasil buah fikiran al-Attas dengan lebih mudah. Buku ini pertama kali diterbitkan oleh ISTAC pada tahun 1998, kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia dan diterbitkan oleh Penerbit Mizan pada tahun 2004, dan kini telah dialih bahasa ke dalam bahasa Malaysia dan dicetak kembali oleh Penerbit Universiti Malaya.



Penulis buku ini, Profesor Wan Mohd Nor Wan Daud, yang dahulunya merupakan orang kanan al-Attas dalam mentadbir ISTAC (International Institute of Islamic Thought and Civilization) mengatakan bahawa al-Attas menyumbangkan tiga di antara penemuan ilmiah terpenting di Dunia Islam yang sangat berpotensi mempengaruhi perjalanan kehidupan umat Islam secara mendalam dan menyeluruh. Sumbangan besar al-Attas ini ialah: Pertama, bahawa masalah terpenting yang dihadapi oleh umat Islam kini ialah masalah ilmu pengetahuan; kedua, ilmu pengetahuan moden tidak neutral kerana dipengaruhi oleh pandangan keagamaan, kebudayaan, dan falsafah, yang mencerminkan kesedaran dan pengalaman manusia Barat; dan ketiga, umat Islam, oleh sebab itu, perlu mengislamkan ilmu pengetahuan masa ini dengan mengislamkan simbol-simbol linguistik tentang hakikat dan kebenaran (hlm. 259).


Pendirian al-Attas mengenai permasalahan ummat cukup jelas sejak tahun 70an lagi, dalam surat jawapan beliau kepada Sekretariat Islam di Jeddah beliau menyatakan bahawa permasalahan yang berasal daripada kemunduran ekonomi, sains, dan teknologi hanyalah sesuatu yang bersifat luaran, cerminan daripada masalah ilmu pengetahuan yang mendasar (hlm. 268).


Buku yang pengulas percaya telah banyak menyita masa dan tenaga penulisnya ini, mempersembahkan pemikiran al-Attas secara panjang lebar dengan membahagikannya kepada tujuh bab. Bab pertama membahas tentang pandangan metafizika mengenai wujud dan kewujudan (hlm. 29-49). Bab kedua membahas konsep ilmu dan cara mencapainya (hlm. 61-96). Bab ketiga membahas makna dan tujuan pendidikan (hlm. 109-135). Bab keempat membincangkan idea dan realiti universiti Islam (hlm. 151-184). Bab kelima membicarakan kurikulum dan kaedah pendidikan (hlm. 201-243). Bab keenam membincangkan Islamisasi ilmu pengetahuan semasa: teori dan amalan (hlm. 259-307). Dan bab ketujuh membahas respons terhadap Islamisasi ilmu pengetahuan semasa (hlm. 327-359).


Al-Attas dikenali sebagai pemikir yang lantang memperjuangkan perlunya penggunaan istilah yang tepat. Ini kerana penggunaan istilah yang salah sangat berpengaruh kepada minda masyarakat. Lebih dari itu, al-Attas juga dikenal dengan pandangan-pandangan kritis beliau untuk memperbetulkan pemahaman umat Islam terhadap konsep-konsep penting dalam Islam. Beliau menolak penterjemahan sekularisme kepada ‘ilmaniyyah atau ‘almaniyyah dalam bahasa Arab. Beliau memberi gagasan universiti Islam (jami‘ah-kulliyyah) dan berkeras agar worldview/weltanschauung diterjemahkan kepada ru’yat al-Islam li al-wujud dan bukan naÐrat al-Islam li al-kawn. beliau memperkenalkan konsep ta’dib sebagai konsep yang tepat dalam pendidikan Islam (hlm.360).


Akar permasalahan intelektual ummat Islam adalah kekeliruan mereka memahami sejumlah kata kunci seperti pandangan alam, agama, Allah s.w.t., ilmu pengetahuan, pendidikan, kebahagiaan, keadilan, kebijaksanaan, pembangunan dsb.(hlm. 84). Oleh kerananya, menurut beliau, perpecahan dapat diselesaikan apabila terdapat kesatuan pemahaman di antara sarjana Muslim tentang idea dan konsep fundamental yang berkaitan dengan agama Islam dan peradaban ummat (hlm. 84). Analisis yang dilakukan oleh al-Attas ini memang sangat penting khususnya pada hari ini kita lihat kekeliruan dan penyelewengan dalam memahami Islam seringkali berpunca daripada perbezaan dalam memahami konsep-konsep penting dalam Islam seperti: ilmu, agama, epistemologi menurut Islam.


Sebagai seorang pendukung aliran tradisionalisme, al-Attas jelas berpegang kepada tradisi sufi yang mengakar dari sejak al-Junayd (m. 910) dan al-Ghazzali (m. 1111) sehingga Hamzah Fansuri (m. 1600) dan al-Raniri (m. 1658). Membaca pemikiran Sufi al-Attas, dapat dipastikan bahawa tradisi Sufi yang beliau fahami tidak sama dengan tasawwuf yang difahami oleh masyarakat pada hari ini. Bagi al-Attas, tasawwuf adalah amalan Shari‘ah dalam maqam iÍsan. (hlm. 33). Namun demikian al-Attas menggariskan perbezaan di antara pseudo-sufi, sufi yang jahil dan sufi cendekiawan. Beliau menyelar sebagian penulis yang memukul rata tasawwuf, kerana tasawwuf dan sufisme selalu disalahfahami. Baginya ajaran para pseudo-sufi, seperti para sofis (sufasta’iyyah) dan kelompok wujudiyyah itu bukan sufi yang sebenar. Begitu juga kelompok sufi yang jahil. Sufi yang benar, bagi al-Attas, mengakui bahawa agama terdiri daripada aspek-aspek yang mapan (seperti Syari‘ah) dan yang kabur (hakikat). Yang kabur didasarkan pada kebenaran yang jelas daripada aspek-aspek yang mapan.


Al-Attas mengatakan bahawa Islamisasi alam Melayu telah melalui dua fasa: fasa sebelum Hamzah Fansuri adalah fasa pertama, di mana peranan fiqih sangat dominan dalam mengamalkan Islam. Dan fasa kedua setelah Hamzah Fansuri yang ditandai dengan pengaruh tasawuf dan kalam (hlm. 260-261). Pembahagian fasa ini tidak bermaksud memisahkan kedua bidang ilmu melainkan sekedar menunjukkan proses kematangan dalam beragama. Pemahaman murni al-Attas terhadap sufisme membawa beliau kepada kesimpulan bahawa falsafah sufisme merupakan penghebatan proses Islamisasi. Tesis ini bertentangan dengan tesis Izutsu yang menilai metafizika dan ontologi sufi terlalu bebas dan sewenang-wenang (hlm. 283)


Mengenai epistemologi Islam, khususnya definisi ilmu dalam worldview Islam, al-Attas menjelaskan bahawa mendefinisikan ilmu secara hadd adalah mustahil, ilmu hanya dapat didefinisikan dengan tepat secara rasm (deskriptif) (hlm. 85). Dalam hal ini, beliau mengetengahkan definisi yang diberikan oleh al-Tahanawi (Kashshaf IÎtilaÍat al-Funun) dan al-Jurjani (Kitab al-Ta'rifat) dan menolak pandangan ulama lain yang menggunakan pendekatan hadd dalam pendefinisian mereka. Bagi al-Attas ilmu adalah kepercayaan yang benar (keyakinan), ia adalah satu aspek daripada keupayaan spiritual manusia. Oleh itu, ilmu adalah iman dan kebenaran kerana ia melibatkan penegasan spiritual dan pengesahan fizik. Lebih menarik lagi beliau mengatakan Ilmu adalah kesatuan antara orang yang mengetahui dengan makna. Kesatuan ini hanya dapat berlaku apabila seseorang yang memiliki potensi juga memiliki persiapan intelektual dan spiritual. Maka dari itu, atas dasar bahawa ilmu adalah pemberian Allah kepada sesiapa yang dipilih-Nya, walaupun ramai manusia yang berpotensi tetapi sedikit yang dianugerahkan ilmu yang betul.


Atas premis bahawa ilmu itu datang daripada Allah s.w.t. dan diperoleh jiwa yang kreatif, beliau membahagikan pencapaian dan pendefinisian ilmu secara deskriptif ke dalam dua bahagian. Pertama, sebagai sesuatu yang berasal daripada Allah s.w.t., dapat dikatakan bahawa ilmu itu adalah tibanya makna sesuatu objek ilmu ke dalam jiwa pencari ilmu (husul surat al-shay’ fi al-‘aql); kedua, sebagai sesuatu yang diterima oleh jiwa yang aktif dan kreatif, ilmu dapat diberikan sebagai tibanya jiwa pada makna sesuatu objek ilmu. (wusul al-nafs ila ma‘na al-shay’)(hlm. 87).


Definisi ilmu seperti yang diungkapkan oleh al-Attas di atas, memberikan kita gambaran yang jelas bahawa pencarian ilmu bukan sekedar pengumpulan maklumat dan fakta. Apa yang penting adalah kefahaman dan kesedaran yang dicapai oleh jiwa atau hati nurani seseorang. Sehingga ilmu yang diperolehinya dapat memberi manfaat kepadanya supaya menjadi pelita yang menerangi kehidupannya. Dengan memahami hakikat ilmu seperti ini maka akan terungkailah kemusykilan mengenai wujudnya segolongan pemegang ijazah yang tinggi hatta dalam pengajian Islam tetapi tidak membawanya kepada hidayah dan jalan yang lurus. Masyarakat memandang golongan ini sebagai ilmuwan, tetapi pada hakikatnya mereka tidak lebih dari sekedar pengumpul maklumat.


Berlawanan dengan kecenderungan falsafah Barat dan golongan modenis dan liberal, bagi al-Attas, objek ilmu, bukanlah khayalan manusia, ia benar-benar wujud, berdiri sendiri. Ia disebut haqiqah dan huwiyyah sekaligus. Untuk memiliki makna yang benar makna yang diperoleh harus sepadu dengan unit-unit konsep lainnya yang terdapat dalam sistem konseptual al-Qur’an (hlm. 89). Di sinilah pentingnya seseorang yang ingin memahami hakikat sesuatu mempunyai pengetahuan yang mendalam terhadap al-Qur’an.


Pengaruh pemikiran al-Attas terhadap pemikiran Islam masa kini cukup besar, di Malaysia khususnya beliau telah berjasa dalam menggembleng generasi muda yang kini sangat berpengaruh seperti ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia), GAPIM (Gabungan Penulis Islam Malaysia), dan ASASI (Akademi Sains Islam Malaysia). Beliau adalah pengasas dan penggubal konsep keislaman di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bahkan mereka bentuk logo UKM (hlm. 266). Beliau juga yang mengusahakan terbentuknya Fakulti Pengajian Islam sebelum menubuhkan dan mengetuai IBKKM (Institut Bahasa, Kesusasteraan, dan Kebudayaan Melayu) yang pada hari ini telah bertukar menjadi ATMA (Institut Alam dan Tamadun Melayu) (hlm. 268).


Pengaruh al-Attas terhadap tokoh-tokoh masyarakat hari ini juga amat besar. Penglibatan al-Attas dalam pendidikan negara di peringkat pengajian tinggi, bahkan sumbangan beliau dalam mengasaskan banyak institusi dalam universiti tempatan pada peringkat awal penubuhannya tentu dengan sendirinya mengangkat beliau sebagai Guru Bangsa. Ini dapat dilihat dengan baik apabila kita selidik kembali tokoh-tokoh ilmuwan yang muncul sekarang kebanyakannya adalah bekas murid al-Attas. Khususnya ilmuwan yang berkecimpung dalam bidang pemikiran Islam dan pengajian Melayu. Tokoh-tokoh terkenal hari ini seperti Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, Prof. Dr. Osman Bakar merupakan bekas murid beliau (hlm.15).

Al-Attas berjaya membuktikan, sekurang-kurangnya kepada golongan yang memperlekehkan sumbangan golongan intelektual sebagai tidak penting berbanding sumbangan dalam bidang politik dan ekonomi. Idea-idea beliau yang berwibawa dan usaha gigih beliau yang berterusan, sehingga terbinanya ISTAC, adalah membuktikan keberkesanan pandangan beliau dalam mengatasi kebingungan dan kekacauan pemikiran. Atas dasar ini, masyarakat perlu diberikan kefahaman yang betul dalam usaha mereka menjadi terbilang dalam pelbagai lapangan kehidupan. Bukan menjadi ajang percubaan kerana harga yang terpaksa dibayar akibat miskonsepsi mengenai konsep pendidikan, pembangunan dan kebudayaan adalah terlalu mahal.


Bagi al-Attas, Islamisasi adalah sebuah “revolusi epistemologi” dan harapan untuk merealisasikan kebangkitan Islam. Konsep Islamisasi menjadi tumpuan minda dan jiwa beliau semenjak sekian lama sebelum tertuang menjadi gagasan besar. Konsep Islamisasi ini pernah dibicarakan oleh sarjana-sarjana ulung lain seperti Seyyed Hossein Nasr (hlm. 338) dan Fazlur Rahman (hlm. 342), Namun penggunaan terma Islamisasi yang dipakai oleh sarjana-sarjana tersebut dilakukan bukan berangkat daripada kajian epistemologis. Oleh karenanya gagasan Islamisasi sebelum al-Attas adalah gagasan yang tidak konkrit. Islamisasi yang dimaksudkan al-Attas bukan sekedar merubah disiplin ilmu, ia adalah Islamisasi fikiran, jiwa dan raga serta kesan-kesannya terhadap kehidupan manusia. Dan ini direalisasikan dengan beberapa cara di antaranya Islamisasi istilah dan konsep kunci yang menjadi agenda penting dalam pemikiran beliau.

Islamisasi berangkat dari beberapa premis yang mapan. Dalam buku Risalah untuk Kaum Muslimin yang ditulis oleh beliau pada tahun 1973, al-Attas telah menjelaskan berbezaan yang luas dan mendalam antara Islam dengan Barat dilihat dari aspek keagamaan, epistemologis, pendidikan dan budaya. Melalui analisis mendalam tentang worldview Barat ini beliau berkesimpulan bahawa ilmu itu benar-benar tidak bebas nilai (neutral). Ini kerana ilmu yang dikuasai oleh Barat pada hari ini telah diresapi nilai keagamaan dan kebudayaan pandangan hidup seseorang, dan budaya berkuasa yang mengajukannya (hlm. 269).


Melalui analisis bidang semantik yang menjadi metodologi kajiannya, al-Attas telah merumuskan bahawa Islamisasi di alam Melayu telah berlaku melalui pengislaman istilah dan konsep kunci dengan demikian ia kemudian merubah atau mengislamisasikan pandangan alam bangsa Melayu-Indonesia (hlm. 261).


Al-Attas menjelaskan bahawa ilmu pengetahuan kontemporari adalah produk daripada kerangka intelektual peradaban Barat yang didasarkan kepada: (a) meletakkan akal semata-mata untuk membimbing manusia mengharungi kehidupan (rasionalisme). (b) konsep dualisme yang meliputi hakikat dan kebenaran. (c) ideologi sekular. (d) Doktrin humanisme. (e) Konsep tragedi (hlm. 272). Menyedari pengaruh sekularisme terhadap masyarakat Barat dan besarnya kesan sekularisasi terhadap dunia hari ini, maka apa yang perlu dilakukan oleh cendekiawan Muslim sebagai tindak balas adalah desekularisasi (menyah-sekularisasikan). Oleh yang demikian, al-Attas selalu menterjemahkan Islamisasi sebagai proses desekularisasi. Walaubagaimanapun, tumpuan proses Islamisasi bagi al-Attas adalah individu dan bukannya umat seperti yang ditekankan oleh al-Faruqi dalam konsep Islamisasinya.


Setelah melihat penjelasan yang diberikan, dapat disimpulkan bahawa Profesor Wan Mohd Nor telah berjaya membuktikan bahawa konsep Islamisasi adalah idea asli al-Attas. Konsep yang juga dikongsi oleh al-Faruqi dari IIIT ternyata memberikan respon yang tidak memberangsangkan. Namun demikian al-Faruqi boleh dikatakan cendekiawan ulung yang telah berjaya mempopulerkan idea Islamisasi ilmu pengetahuan sehingga menjadi concern para cendekiawan lainnya. Pendekatan yang berbeza antara al-Attas dan al-Faruqi dalam menkonseptualisasikan Islamisasi ilmu pengetahuan kontemporari tidak perlu diperbesar-besarkan. Apa yang penting keduanya ikhlas dan bersungguh-sungguh memikirkan jalan keluar bagi kegentingan umat Islam. Pendekatan al-Attas yang lebih sistematik boleh dianggap pelengkap bagi pendekatan al-Faruqi yang lebih menekankan pada disiplin ilmu.


Di sebalik penulisan yang sophisticated dan kematangan pemikiran yang ditumpahkan ke dalam buku ini, terdapat beberapa kesilapan ejaan dan teknikal yang sedikit mencacatkan penerbitan buku ini, ini menunjukkan tetap adanya kelemahan manusia yang jauh daripada kesempurnaan. Namun ia masih boleh diperbaiki untuk penerbitan seterusnya. Kesilapan ejaan seperti: kereta ditulis kereka (hlm.129), rubah ditulis dengan ejaan lama robah (hlm. 97). Ejaan Indonesia ada yang masih belum dirubah seperti dualistis (hlm. 54) persaudaraan diertikan dalam bahasa Arab sebagai ikhwah bukan ukhuwwah (hlm. 278) begitu juga kehormatan diertikan sebagai muruwwah yang sepatutnya muru’ah (hlm. 278). Tidak mengambil ilmu sepatutnya makna dari la yaqbidu (menggunakan huruf qaf ) bukan la yaghbidhu (hlm. 270).


Boleh dikatakan bahawa buku ini merupakan rumusan daripada pemikiran Al-Attas selama lebih tiga dekad yang sebenarnya merupakan keperihatinan beliau terhadap aspek pendidikan dan pemikiran ummat Islam. Sumbangan beliau amat bermakna dalam mencorakkan pemikiran Islam yang sejati. Di samping juga menjadi senjata yang cukup ampuh untuk melawan segala bentuk penyelewengan terhadap Islam. Asas-asas epistemologi yang telah beliau bina boleh menjadi fondasi yang kuat untuk menentang arus liberalisasi dan dekonstruksi Islam pada hari ini.


Sangat ketara sekali bahawa pemikiran al-Attas telah memberi kesan yang mendalam pada jiwa penulis. Kata-kata di bawah ini menarik untuk dicermati: “Persoalan kita bukanlah pada kurangnya sumber-sumber kewangan, material, spiritual, dan intelektual, melainkan yang lebih penting adalah keengganan kita untuk meletakkan setiap sumber yang kita miliki pada tempatnya yang benar dan tepat”(hlm. viii).