Showing posts with label Islamisasi. Show all posts
Showing posts with label Islamisasi. Show all posts

Fiqh al-Harakah - Kefahaman Menggerakkan Keupayaan Ummah; Fiqh al-Hadharah - Hasil usaha Yang Menyuburkan Islam Ummah

sumber

Oleh Ibn Ramadhan

Maha suci Allah yang menguasai dan memiliki semua makhluk di bumi. Selawat dan salam kepada Rasul Muhammad saw ibni Abdillah. Seterusnya seluruh kaum keluarga dan para sahabat Baginda saw. Salam juga kepada ummat kebangkitan kali ke 2 walau di mana saja saudaraku berada, yang bersungguh-sungguh membuktikan akan kebenaran Agama Allah yang terakhir ini.


Saya berpendapat era kebangkitan Islam sebelum ini, yang dipandu oleh sebahagian gerakan ummat Islam semasa telah berjaya menterjemahkan `fiqh al-harakah` sehingga kebanyakan ummah dapat menerima bahawa perjuangan menegakkan kembali Islam mestilah bersama jamaah atau gerakan Islam. Ini `key-word` asas fiqh al-harakah. Kelemahan dan kesilapannya ada iaitu dalam usaha menjalankan kerja-kerja tersebut sebahagiannya gagal membina hadharah disebabkan mereka berfikiran akan dapat dibina bila adanya negara. Bila mereka tidak mewujudkan hadharah sendiri (hadharah Islamiyyah) yang sepatutnya mereka bina bersama-sama, mereka terperangkap dengan `hadharah semasa` yang menawarkan kekuasaan politik demokrasi, boleh kita simpulkan sebagai ketidakfahaman tentang `fiqh al-hadharah`.



Dalam perjuangan Islam yang penuh dengan mehnah dan cabaran ini menuntut ummatnya supaya lebih berhati-hati serta benar-benar faham akan hakikat perjuangan dan hakikat Agama Islam itu sendiri yang mesti diterima pakai serta diperjuangkan oleh penganutnya seperti yang dicontohkan oleh Baginda Rasul saw dan generasi awal. Supaya agama yang kita anut ini, mempunyai ciri-ciri persamaannya dengan anutan saudara-saudara kita yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kita. InsyaAllah, usaha-usaha bagi memahami dengan lebih mendalam tentang fiqh al-harakah dan fiqh al-hadharah sesuatu yang sepatutnya mendapat tempat di hati-hati ummah kebangkitan kali ke 2 ini.



Dengan bersangka baik, insyaAllah! ummah akan dapat juga mengikutinya walaupun dengan perlahan-lahan. Seperti ummat Islam hari ini mulai faham untuk memperjuangkan Islam mestilah bersama-sama jamaah sekurang-kurangnya. Sebenarnya ummat Islam yang faham fiqh al-harakah bukan atas sentimen atau semangat sahaja, rasa terpanggil untuk menyertai jamaah atau gerakan Islam ialah untuk tujuan perjuangan membina atau membangunkan kerja-kerja Islam sebab kerja Islam ini BESAR, HEBAT, LAMA, JAUH BERJALAN, BERAT tak mampu dibuat atau dibangunkan oleh individu, sebab itu Nabi saw pun tak buat kerja seorang diri. Wadah yang digerakkan berasaskan kefahaman fiqh al-harakah akan menjana kerja-kerja perjuangan kita. Disebabkan perjuangan kita perjuangan Islam ia akan menghasilkan Hadharah Islamiyyah. Jika wadah itu wadah sekular ia akan menghasilkan hadharah sekular, ringkasnya wadah jahiliyyah akan menghasilkan hadharah jahiliyyah.



Tetapi jika kefahaman tentang fiqh al-harakah pun tak jelas, cara-cara nak menjana pun kurang, apalagi sistem janakuasa pun `fashion` lama, tak Islamik, tiru tren jahiliyyah, ini yang selalu ummah akan hadapi gangguan `black out` bekalan tenaga. Adakah semua ummah kebangkitan kali ke 2 boleh terus bersetuju dengan wadah yang tidak berhasil menjanakan Hadharah Islamiyyah. Sebaliknya mengalihkan `beringnya` ke arah mencapai cita-cita politik semasa mengikut kehendak hadharah orang ramai. Orang ramai yang jahil tentang Hadharah Islam begitu diplomatik menjuruskan kehendak mereka ke atas wadah atau pihak kita yang dah tercabut rasa malu mengidamkan `singgahsana` hadharah mereka? Ini satu lagi persoalan masa kini yang ummah kena betul-betul serius menangganinya.Ummah jangan `berjurus` tak kena tempat, taat kepada jamaah atau pemimpin selagi tidak bercanggah dengan taat kepada Allah swt dan taat kepada Rasul saw.



Peranan fiqh al-hadharah pula dapat mengatasi kejahilan ummat dan sikap fanatik kepada sesama makhluk yang sanggup memperbodohkan aqal sendiri. Fiqh al-hadharah ialah kefahaman secara yang bersungguh-sungguh untuk menghidupkan ajaran Islam itu sendiri dalam seluruh hidupnya secara peribadi, keluarga, kejiranan, jamaah, masyarakat dan sampai kepada yang lebih besar. Itu tujuan Islam diturunkan kepada ummat manusia,`Rahmatan lil`alamin`. Sebab itu bagi saya memahami fiqh al-hadharah ialah memahami sesuatu tentang seluruh sistem kehidupan seseorang Muslim itu sendiri, dari mana dia datang, untuk apa dia meneruskan hidup dan ke mana kesudahan segala aktivitinya.



Perjuangan menegakkan Hadharah Islamiyyah di Madinah telah bermula 13 tahun di Mekah lagi, dengan sekurang-kurangnya 2 percubaan/eksperimen hijrah iaitu ke Habsyah dan ke Taif. Seterusnya mengadakan perjumpaan dengan khabilah-khabilah dari Madinah pada musim haji dan mengIslamkan mereka lalu menghantar naqib atau murrabi kepada mereka bagi membina hadharah awal di sana. Saya lebih suka menyebut Hadharah Islamiyyah di Madinah bukan Negara Islam Madinah kerana istilah negara itu sendiri telah diberikan oleh generasi kemudian. Lagi pun istilah negara itu menjadikan ummah mudah keliru kerana ummah akan membandingkan dengan negara yang ada pada hari ini. Sedangkan yang Nabi dan para sahabat generasi pertama dulu tegakkan ialah, peribadi, biah termasuk keluarga yang beriman membina kekuatan ukhuwah dan ummah itulah sebenarnya hadharah.



Jadi rasanya sebagai ummah kebangkitan kali ke2 sepatutnya faham bahawa kita berpakat, berorganisasi, berjamaah ialah supaya kehidupan kita sekarang (semasa) dapat berjalan dengan baik dan mampu menghadapi suasana sekeliling yang bukan hadharah yang kita mahukan. Tiada makna kita berpakat untuk membina hadharah yang bukan hadharah Islam seperti sekular atau demokrasi, yang orang lain tentukan 24 jam sehari ke atas kita. Kita yang sepatutnya berpakat bersama-sama menentukan kehidupan hadharah sendiri.


Sebagai kesimpulan, suka saya menyatakan bahawa tiada apa-apa percanggahan antara kedua-dua gagasan fiqh al-harakah dan fiqh al-hadharah yang telah para ulama` terdahulu sampaikan kepada kita. Cuma kelemahan ummat sendiri sebelum ini kurang memahami keduanya atau terlebih tumpu kepada fiqh al-harakah lalu terbabas, sehingga merasakan kehebatan harakah masing-masing adalah segala-galanya. Harakah atau jamaah tidak boleh dipertikai atau ditegur langsung, begitu juga dengan para pimpinannya. Sedangkan harakah atau jamaah tadi cuma alat untuk menjana perjuangan iaitu kehidupan berhadharah sesama ummat Islam.


Jangan terkejut saudaraku! Alat, harakah atau wadah boleh bertukar ganti… hak Allah swt yang menentukan kepada golongan mana yang layak tetapi hadharah atau bentuk dan ciri-ciri Hadharah Islamiyyah sama sekali tidak berubah seperti yang dibina oleh Nabi Besar kita Muhammad saw dan seluruh ummat Islam generasi pertama dahulu. Semuanya kembali kepada kita sendiri yang harus mengenali dan tahu menilai agamanya sendiri. Semoga Allah akan memahamkan kita ummat kebangkitan kali ke 2 akan agamaNya.



Maksud firman Allah - “Ia menurunkan air dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhlukNya, kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung. Dan dari benda-benda yang dibakar di dalam api (lebur) untuk dijadikan barang perhiasaan atau peralatan yang diperlukan, juga timbulnya buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi misalan tentang perkara-perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang sebagai yang tidak ada harganya (nilai). Adapun yang memberi manfaat dan faedah kepada manusia maka ia tetap berada di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal sebangai perbandingan” (ar-Radd 17).


Sekian dahulu, sebagai memberi pandangan, wallahu`alam bissawab!

Komentar:

Ini bukan artikel saya tulis.

Artikel daripada Ibn Ramadhan ini menjawab banyak persoalan asasi yang mungkin timbul berkenaan pertentangan fiqh al-Harakah dan fiqh al-Hadhara yang dilontarkan melalui tulisan Dr. Amran yang lalu.

Memang tidak sebarang penentangan kerana fiqh al-Hadharah ini sebenarnya menggagaskan perkara yang cukup asas iaitu pembinaan pandangan alam Islam ( ru’yat al-Islam lil wujud) yang merupakan PENTERJEMAHAN AQIDAH ISLAMIYYAH KE DALAM SEGENAP BENTUK KEHIDUPAN BAIK LAPANGAN ILMU FARD AYN DAN FARD KIFAYAH.

Terminologi seperti espitemologi, ontologi, aksiologi etc. Semua itu hanyalah alat untuk mengupas konsep yang diketengahkan oleh ulama’ terdahulu dalam realiti semasa. Maka tidak perlu rasa ‘takut’ atau ‘membida’ah’kan semua ini kerana ada asas kepada penggunaan terminologi-terminologi tersebut dalam wacana fiqh al-Hadharah yang menekankan aspek metafizika secara lebih mendalam.

Apa yang diperkatakan Ibn Ramadhan ini sebenarnya satu kritikan ringkas. Yang ditulis oleh Dr. Amran itu lebih mendalam.

Permasalahan ini seperti yang ditegaskan di atas adalah kerana umat Islam telah mengabaikan tradisi keilmuan zaman-berzaman. Kitab aqidah yang mu’tabar seperti Aqaid al-Nasafi, Aqidah al-Tahawiyyah etc. tidak lagi di ajar secara meluas di kalangan ummah. Biarpun ada yang mengatakan cukuplah bermula dengan “Tauhid Tiga” seperti yang digarap oleh Ibn Taimiyyah, tetapi dalam keadaan umat diserang sekularisme dari pelbagai sudut, kitab aqidah tradisional dari ulama’ ‘superstar’ dan autoriotatif sangat-sangat relevan untuk diajar DENGAN PENJELASAN BERDASARKAN KONTEKS DAN CABARAN SEMASA.

Ya semua ini teori sahaja. Bagi golongan yang mencemuh aspek teoretikal dalam tuntutan projek pengislahan ummah, anda boleh sahaja teruskan ‘action’ anda itu dalam keadaan kefahaman yang cetek lagi dangkal. Kalau teori pun tak faham, sudah tentu amal tidak dapat dizahirkan dengan BETUL dan TEPAT!

Cuba tanya mengapa anak-anak Melayu sekarnga berperilaku sebegitu. Apakah mereka tidak solat? Tidak percaya kepada Allah dan Rasul-Nya? Tentu mereka percaya TETAPI KUALITI KEFAHAMAN ITU BAGAIMANA?


Ini yang Prof. al-Attas tekankan selama lebih 50 tahun perjuangan keilmuan beliau ya’ni kehilangan adab yang melahirkan ke kekeliruan dan kesalah fahaman dalam ilmu.

Umat Islam tidak bodoh kerana kita mempunyai pelbagai kemudahan untuk menuntut ilmu. Jahil murakkab mungkin. Jahil yang bertimpa-timpa. Jahil yang dimana orang tersebut tidak tahu dia keliru. Golongan inilah yang mencacatkan fiqh al-Hadharah umat.

Sebab itu ulama’ silam sangat serius melawan sebarang pencemaran aqidah daripada puak-puak yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya TETAPI SALAH FAHAM DAN KELIRU dalam pelbagai aspek pandangan alam mereka seperti golongan Ismailiyyah, Mu’tazillah, Khawarij, Jabariyyah, Sufastaiyyah, Mujassamah dan banyak lagi.

Memang golongan ini secara harfiahnya sudah tidak wujud tetapi kes pluralisme agama, ektremisme agama, liberalisme agama itu semuanya sedikit sebanyak bertunjangkan PENGARUH SILAM seperti yang diterangkan di atas, yang terus wujud dalam ketamadunan manusia pada hari ini.

Mengikut Ustaz Maalik Bennet, umat memerlukan kemenangan moral (morale victory) dahulu barulah kemenangan fizikal (physical victory). Apa yang dimaksudkan oleh Ustaz Maalik adalah kemenangan aqidah terhadap sebarang serangan pemikiran harus berjaya ditangani, terutamanya masalah kehilangan adab dalam pendidikan seperti yang dijelaskan dengan tuntas oleh Prof. al-Attas. Semua ini mencerminkan strategi dakwah fasa Makkiyah yang menjadi ASAS kepada dakwah dasa Madaniyyah. Tidak lain dan tidak bukan, fiqh al-Hadharah merupakan konsep yang menepati dakwah fasa Makkiyah ini yang menjanjikan kemenangan moral terhadap umat Islam jikalau kita benar-benar sedar akan kepentingannya.


Sekali lagi, bilamana penegasan dibuat terhadap fiqh al-Hadharah berbanding fiqh al-Harakah atau fiqh al-Siasah, tidak bermakna kedua-dua yang akhir itu tidak perlu dijalankan. Sudah tentu kita perlu berpolitik, dan membuat segala macam kerja-kerja di lapangan. Agama Islam bukan agama monastik, beku, jumud, totok, lemau macam biskut Merry.

Agama Islam melahirkan insan-insan yang dinamik, seperti yang dijelaskan oleh Ali Syariati dalam gagasan rausyanfikir beliau.

TETAPI ruang dan peluang, pengiktirafan dan kerjasama harus dijalinkan erat antara golongan yang memperjuangkan fiqh al-Hadharah dengan fiqh al-Harakah kerana TUNJANG kepada perjuangan fiqh al-Harakah adalah fiqh al-Hadharah.


Siapakah golongan yang memperjuangkan fiqh al-Hadharah? Sudah tentu golongan tafaqquh fi al-Din ya’ni para ulama’, intelektual, saintis etc. Merekalah arkitek dan jurutera projek pembinaan tamadun Islam. Merekalah golongan ulul albab!


Maka jangan sesekali kita mencemuh, menghina dan menempelak golongan yang mendedikasikan masa dan tenaga mereka pada penulisan, pembinaan teori dan kerangka ilmu, sastera ilmi dan segala macam kegiatan yang menyumbang kepada projek fiqh al-Hadharah! Janga sesekali kita cepat menjadi biadap terhadap golongan yang berfalsafah dengan mencemuh FAL-SAMPAH dan sebagainya kerana dengan perbuatan sedimikian, anda secara automatik mencemuh para ulama’ silam yang tidak tidur malam meng-Islamisasi-kan ilmu falsafah Yunani yang menjadi ASAS kepada segala macam lapangan ilmu yang kita belajar dan amalkan pada hari ini.


Golongan yang biadap terhadap golongan tafaqquh fi al-Din inilah sebenarnya menjadi liabiliti kepada perjuangan Islam seolah-olah para ulama’ yang melahirkan ratusan kitab merupakan satu perbuatan sia-sia kerana semua itu HANYALAH TEORI SEMATA-MATA. Golongan sebegini mempunyai bau-bauan Neo-Khawarijisme, Ekstrimisme, Utopianisme, Jumudisme, Totokisme, dan segala macam isme yang mereka sendiri tidak tahu sebab terperangkap dalam lingkaran kekeliruan tersebut. Golongan al-jahlu wanabdul 'ilm ( jahil dan membelakangkan ilmu) sebenarnya mempunyai masalah ittiba’ul-hawa wa fasad al-qasd ( menuruti hawa dan mempunyai niat yang rosak) dalam memahami hakikat ilmu dalam Islam. Ilmu dijadikan barang dagangan duniawi semata-mata seperti yang puak kapitalisme lakukan.

Cita-cita besar tapi tin kosong. Bankrap idealisme. Islam akhirnya dijadikan ideologi semata-mata.

Mungkin ada baiknya kita sama-sama meneliti hadith di bawah ini:

Jelas disini, bahawa usaha dan kerja mempersiapkan fiqh al-Hadharah ummah bukan satu perkara yang boleh diperlecehkan khususnya oleh golongan mahasiswa. Cabaran UTAMA umat berkenaan fiqh al-Hadharah pada waktu ini sudah tentu projek Pengislaman Ilmu ( Islamization of contemporary knowledge) yang mana bukan mudah untuk dilakukan tanpa ada kefahaman yang betul berkenaan al-haqq wa batil.


Sebab itulah kita kena belajar falsafah Barat DALAM KERANGKA falsafah Islam melalui GURU YANG BERWIBAWA.

Fiqh al-Hadharah umat yang ada pada hari ini seperti dimamah oleh anai-anai oleh itu, perlu ada segolongan manusia yang benar-benar menumpukan diri mereka pada jalan ini dan diberi sokongan dan bantuan yang seadanya oleh semua pihak.

Sekian,

Wallahua’lam.

p/s: Saya sengaja meletakkan artikel ini khas buat gerakan islam untuk direnung dengan teliti perkara yang hendak disampaikan,boleh rujuk juga makalah

Fiqh al-Hadharah: Satu renungan awal (Siri 1)

Fiqh al-Hadharah: Satu renungan awal (Siri 2)

Fiqh al-Hadharah: Satu renungan awal (Siri 3)

Syarahan Perdana Syed Muhammad Naquib al-Attas




*sekadar sebaran di blog ini, sumbernya di sini

* *Suatu nota titipan penulis asal buat pembaca:
"Ini adalah catatan bebas ana yang ditulis dengan bahasa
yang sangat ringkas dan dicatat secara langsung ketika dalam majlis syarahan Prof
(yang dibuat dalam Bahasa Inggeris) pada 13 Disember 2009 di IIM (Institut
Integriti Malaysia). Dengan penuh rendah diri dan ampun maaf, segala
kelemahan dalam tulisan ini adalah atas sebab ana yang mungkin tidak berupaya
memahami segala apa yang telah disampaikan oleh Prof Syed Muhammad
Naquib al-Attas. Bagi sesiapa yang memahami dengan lebih jelas, harap dapatlah
memberi komentar kepada isi syarahan yang dicatat oleh ana dalam serba kekurangan ini."


Al-Quran berbicara tentang ilmu. Al-Quran berbicara tentang roh. Al-Quran berbicara tentang dunia ghaib dan dunia nyata. Al-Quran berbicara tentang sejarah. Pendek kata, al-Quran merangkumi segala fundamental asas yang perlu diketahui oleh manusia. Pandangan alam antara satu tamadun dengan tamadun lain berbeza disebabkan faham masing-masing terhadap kebenaran mutlak. Perbezaan ini timbul disebabkan pemahaman yang berbeza-beza tentang tuhan, manusia, ilmu dan sebagainya. Perbezaan ini berlaku di peringkat asas lagi. Perbezaan fahaman ini telah mewujudkan pandangan yang mengelirukan. Ada golongan yang keliru bermula dari peringkat asas lagi. Kekeliruan yang muncul ini menyebabkan mereka menyangka bahawa anjakan paradigma itu adalah satu kemestian. Natijahnya, mereka cuba menyusun semula pandangan itu dengan andaian bahawa selepas menyusunnya, pandangan mereka akan kembali benar. Mereka menyusun ibarat mereka sedang menyusun puzzle. Mereka menyangka bahawa apa yang mereka susun itu benar belaka padahal kesilapan memasukkan sesuatu petak di tempat yang salah boleh merosakkan keseluruhan gambaran puzzle yang mereka kehendaki. Hal ini samalah seperti pandangan alam. Kesilapan mereka membuat perubahan walaupun perubahan itu kecil boleh merosakkan keseluruhan gambaran pandangan alam. Kita tidak boleh bercakap tentang sains politik sekiranya kita tidak memahami pandangan alam yang sebenar. Satu masa dahulu modernis Mesir menyerang sejarah lampau orang Islam. Mereka berusaha mempengaruhi pemikiran umat Islam masa kini dan beranggapan bahawa sejarah umat Islam satu masa dahulu tidak relevan dengan masa kini. Jika kita terikut-ikut dengan rentak golongan modernis ini yakni menyerang sejarah lampau Islam bermakna kita termasuk dalam golongan yang memusnahkan pokok yang telah kita semai dan tanam. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menebang atau mencabut akar pokok itu sehingga menyebabkan tamadun yang kita bina akhirnya runtuh. Menurut modernis, sejarah lampau yang merujuk kepada akar pokok itu perlu ditebang. Akar sejarah itu perlu diapungkan dan dibiarkan berjalan dengan sendirinya. Mereka cuba untuk melepaskan ikatan dari sejarah lampau umat Islam. Mereka beranggapan bahawa mereka boleh menjadi maju dengan melepaskan diri dari sejarah lampau. Tidak ada perkataan maju dalam Islam. Perkataan maju itu dipinjam dari Barat. Barat tidak memahami Islam seperti orang Islam memahami Islam. Barat tidak memahami Nabi Muhammad saw seperti orang Islam memahami Nabi Muhammad saw. Barat menyangka bahawa Nabi Muhammad saw itu sama seperti manusia lain. Itu tidak benar. Nabi saw adalah sebaik-baik makhluk yang dijadikan Allah Ta’ala dan Nabi saw menerima wahyu. Al-Quran menyuruh kita berfikir. Soalnya adakah kita berfikir? Al-Quran berbicara tentang gunung. Dalam satu ayat al-Quran, ada disebut betapa al-Quran jika diletakkan di atas gunung maka gunung akan bergoncang dan akan hancur. Soalnya kenapa gunung? Gunung dianggap sesuatu yang suci oleh kebanyakan tamadun besar dunia. Ada tamadun yang menganggap gunung sebagai tuhan dan sebagainya. Orang Melayu juga tidak terlepas dalam hal ini. Orang Melayu juga mempunyai kepercayaan tersendiri terhadap gunung. Ada gunung yang dianggap istimewa bagi orang Melayu misalnya Mahameru dan Bukit Siguntang. Dalam bahasa Arab, gunung dianggap sesuatu yang berkuasa. Jadi, apabila al-Quran diturunkan kepada manusia bermakna manusia itu lebih berkuasa dari gunung. Kita tidak menerima al-Quran dan Rasul begitu sahaja sebaliknya kita perlu berfikir. Betapa Rasulullah saw itu insan yang benar-benar hebat kerana menyampaikan isi al-Quran itu kepada manusia.


Nabi Muhammad saw adalah Qudwatun Hasanah dan Rahmatan Lil Alamin. Rahmat di sini bukanlah bermaksud belas kasihan tetapi memberi cahaya kepada seluruh umat manusia. Nabi saw berkata, aku dijadikan sebelum Adam dicipta dari tanah liat. Dalam satu hadith lain, Nabi saw bersabda, aku dijadikan dari cahaya. Rasul-rasul terdahulu telah diperintah untuk memberitahu kedatangan Nabi saw. Sebelum diangkat menjadi Rasul, mereka perlu berikrar dihadapan Allah Ta’ala dengan meyakini bahawa Nabi Muhammad saw adalah Pesuruh Allah dan penutup bagi segala Rasul. Ada sesuatu yang tidak kena dengan umat Islam pada masa ini. Adakah ia berkaitan dengan sistem pendidikan yang pincang? Umat Islam pada masa ini menyangka bahawa Islam itu hanya pada solat lima 5 waktu dan mengucap dua kalimah syahadah. Barat dan kepercayaan lain juga meyakini adanya Tuhan. Tetapi adakah kepercayaan mereka sama dengan kepercayaan umat Islam? Ada orang Islam yang keliru tentang kepercayaan kepada Tuhan. Secara lahiriah, semua orang percaya adanya Tuhan. Ketika di alam roh, semua manusia telah membuat perjanjian di hadapan Allah Ta’ala dan mengakui kebenaran bahawa Tuhan mereka adalah Allah Ta’ala. Maka atas sebab itu, sebaik sahaja lahir, keyakinan terhadap Tuhan akan muncul tetapi kepercayaan terhadap Tuhan mengikut kepercayaan umat Islam adalah berbeza dengan kepercayaan orang-orang kafir. Iblis juga percaya adanya Tuhan tetapi dia angkuh. Ketahuilah bahawa agama selain Islam adalah tidak sama. Semua manusia percaya adanya Tuhan tetapi agama-agama lain selain agama Islam tidak dipandu dengan wahyu maka kepercayaan terhadap Tuhan itu berbeza-beza. Aristotle juga percaya pada Tuhan tetapi ia hanya percaya pada peringkat intelektual sahaja. Aristotle tidak meletakkan praktikal sebaliknya hanya menggunakan spekulasi untuk mempercayai adanya Tuhan. Pemikiran seperti ini perlu dijelaskan bukan hanya di peringkat sekolah tetapi di peringkat tinggi. Inilah matlamat utama ISTAC ditubuhkan. Pemikiran-pemikiran yang mencabar perlu ditangani dengan serius. Apabila kita berbicara tentang al-Quran, kita sebenarnya berbicara tentang isi kandungannya iaitu bagaimana kita menghayati isi kandungan al-Quran. Al-Quran diturunkan dengan menggunakan perkataan bahasa Arab yang baru. Ada perkataan di dalam al-Quran yang tidak ada dalam istilah bahasa Arab. Maka sebab itu, kita hendaklah mempelajari dan mendalami al-Quran dengan betul. Apabila kita tidak dapat memahami al-Quran dengan makna yang betul maka kita akan terkeliru. Ada pemimpin kita yang tidak faham atau keliru dengan makna liberal.

Sebagai contoh, mereka beranggapan bahawa wanita bebas melakukan apa sahaja sedangkan ini tidak betul. Kebebasan ada hadnya. Sebagai pemimpin, mereka tidak boleh bercakap sesuka hati. Satu lagi contoh kesilapan pentafsiran makna dari kalangan pemimpin ialah apabila mereka mengatakan bahawa solat boleh dilakukan dengan membelakangkan kiblat. Itu tidak betul. Solat dalam keadaan sedemikian hanya boleh dilakukan jika berada dalam keadaan darurat.


Adab adalah satu perkara yang sangat penting khususnya dalam pendidikan. Ilmu tanpa adab adalah tidak berguna kepada si pencari ilmu. Kata Imam al-Ghazali, orang yang mencari ilmu tanpa adab ini ibarat orang buta yang membawa lilin masuk ke dalam gua. Maksudnya di sini ialah lilin yang dibawa oleh orang buta itu tidak memberi apa-apa manfaat kepadanya. Adab berkait-rapat dengan melakukan sesuatu perkara dengan betul di tempat yang betul. Untuk melakukan perkara yang betul, ilmu diperlukan. Keadilan tercapai apabila sesuatu perkara itu diletakkan di tempat yang betul. Orang-orang yang berkeahlian didalam sesuatu bidang perlu diletakkan di dalam bidangnya. Inilah yang dikatakan sebagai keadilan. Apabila telah diletakkan di tempat yang betul maka mereka perlu menjalankan tanggungjawab. Maka ini disebut sebagai amanah. Ramai orang keliru tentang perkara ini. Pemerintah keliru tentang perkara ini bahkan pihak agama dan universiti juga terkeliru dalam hal ini. Mereka tidak meletakkan orang yang betul d itempat yang betul. Justeru, pihak yang bertanggungjawab perlulah memikul tanggungjawab untuk meletakkan orang yang betul di tempat yang betul.

Inilah amanah. Kebanyakan ulama yang ada pada hari ini adalah mukallim yang bertaqlid pada fuqaha. Ulama pada masa dahulu sangat tawadhuk. Mereka sentiasa berkata bahawa mereka ada membuat silap tetapi dalam kebanyakan masa yang dihabiskan, mereka sebenarnya jarang atau mungkin terlalu sedikit berbuat silap. Ini adalah kerana mereka faham tentang makna adab dan ilmu. Masalah utama yang melanda umat Islam pada masa ini ialah kejahilan terhadap ilmu. Kita harus sedar bahawa Internet itu bukannya ilmu. Sebab itu kita kena soal diri kita semula samada kita kah yang mengurus ilmu atau ilmu itu yang mengurus kita? Keadilan tercapai apabila kita tahu siapa yang benar dan kita menyebelahi pihak yang benar. Tidak ada konsep sekerat-sekerat yakni setengah benar dan setengah salah. Pengadilan didasarkan kepada kemutlakan yakni samada benar atau salah. Banyak perkara tidak didefinisikan dengan betul akhirnya ramai menjadi keliru. Kekeliruan akan menggejala melainkan kita semua kembali kepada wahyu yang merupakan asas kepada semua perkara. Seperti yang disebut tadi, ramai yang keliru tentang fungsi al-Quran dan Hadith. Al-Quran ditafsir dari satu sudut hanya untuk kepentingan satu pihak sahaja. Sebagai contoh, pengamal undang-undang mentafsir al-Quran dari sudut perundangan sahaja. Sedangkan isi kandungan mencakupi semua aspek kehidupan.

Begitu juga dengan hadith. Ada golongan ulama yang mengambil hadith untuk keperluannya sahaja manakala hadith lain tidak diguna pakai. Hadith-hadith yang hendak digunakan dibukukan manakala hadith-hadith yang tidak digunapakai diabaikan. Maka atas sebab itu, banyak hadith tidak sampai kepada kita dan akhirnya kita sendiri meragui akan kesahihan hadith itu. Sebagai contoh, hadith yang berbunyi seperti berikut, Dunia adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang yang tidak beriman. Ada orang yang tidak percaya ini adalah hadith. Mereka menyaring hadith mengikut kepentingan mereka sendiri. Golongan ekonomi misalnya melihat hadith ini sebagai sesuatu yang merugikan umat Islam kerana umat Islam menjadi mundur. Inilah yang berlaku pada Hamzah Fansuri. Banyak hadith yang disebut oleh Hamzah Fansuri dianggap bukan hadith pada masa ini. Ini adalah kerana ada golongan yang telah menolak hadith yang tidak sependapat dengan mereka lalu mengabaikan hadith-hadith tersebut.


Tentang soal sekularisasi, ia adalah masalah luaran yang dihadapi oleh umat Islam pada masa ini. Umat Islam tidak menentang kehidupan di dunia tetapi yang ditentang itu ialah ideologi yang menyatakan bahawa tidak ada dunia lain selain dari dunia yang ada pada masa ini. Ada orang menyatakan kita negara sekular. Itu tidak betul kerana subjek agama masih diajar di sekolah-sekolah. Berbalik kepada soal Nabi Muhammad saw, kita tidak boleh memanggil Nabi saw dengan panggilan namanya sahaja. Kita perlu tahu meletakkan kedudukan Nabi Muhammad saw sebagai makhluk Allah Ta’ala yang paling mulia. Para sahabat begitu memuliakan Nabi saw. Peluh baginda saw dijadikan minyak wangi manakala rambutnya yang dipotong ditadah oleh para sahabat lalu disimpan. Nabi Muhammad saw mengangkat darjat wanita. Nabi Muhammad saw berkata bahawa syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Umat Islam memuliakan Nabi saw tetapi tidaklah meletakkan kedudukan Nabi saw sebagai Tuhan seperti mana Kristian menjadikan Nabi Isa as sebagai tuhan mereka. TIdak ada manusia seumpama Nabi saw dalam mana-mana tamadun manusia baik dahulu, sekarang mahupun yang akan datang. Tokoh-tokoh lain seperti Buddha hanya tertumpu kepada soal moral tetapi Nabi saw memberi perhatian kepada seluruh kehidupan manusia. Kaum Kristian tidaklah sepenuhnya mengikut ajaran Nabi Isa as kerana jika mereka mengikut secara mutlak sudah pasti tidak ada generasi Kristian selepas Nabi Isa diangkat ke langit. Ini adalah kerana Nabi Isa as tidak berkahwin sepanjang hayat baginda sebelum baginda diangkat ke langit.


Sesi soal-jawab
Adakah ahli politik adalah orang yang paling tepat atau paling layak untuk memimpin umat Islam? :
Ahli politik penting dan memang ada keperluan untuk jadi pemimpin. Ini ada disebut dalam Aqaid an-Nasafi. Apapun ahli politik yang baik adalah ahli politik yang mempunyai akauntabiliti, bertangunggjawab dengan memegang amanah dan faham serta tahu dalam banyak perkara.


Penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam. Adakah ia dibolehkan?
:
Dahulu pernah timbul isu ini dimana pihak gereja dari Pulau Pinang memohon untuk menggunakan kalimah Allah. Satu mesyuarat telah diadakan di ISTAC bagi menjawab permasalahan isu ini. Soalnya kenapa mereka mahu menggunakan kalimah Allah? Mereka menyatakan bahawa mereka ingin berdoa dalam bahasa Melayu dan mahu menggunakan kalimah Allah. Sebenarnya kita harus faham, kalimah Allah bukanlah terjemahan kepada God. Terjemahan God dalam bahasa Melayu ialah Tuhan. Jadi, jika mereka ingin berdoa dalam bahasa Melayu maka gunalah istilah Tuhan sahaja. Kita tidak boleh membenarkan golongan bukan Islam menggunakan nama Allah kerana mereka tidak faham makna Allah sebagaimana kita faham Allah. Seperti yang disebut tadi Allah bukanlah terjemahan dari God. Sebab itu dalam syahadah disebut, “tiada tuhan melainkan Allah” bukannya “tiada tuhan melainkan tuhan”. Sekali lagi dijelaskan bahawa kita tidak boleh membenarkan perkara ini terjadi.


Tentang Tariqah dan sufi
:
Kebanyakan tariqah yang ada pada masa ini tersasar dari maksud tariqah yang sebenar. Ramai ahli sufi tidak faham tentang makna sufi. Ibnul Arabiy pernah berkata, Ramai orang menggunakan perkataan sufi sedangkan mereka langsung tidak tahu tentang makna perkataan itu. Saya (kata Prof Syed Muhammad Naquib) telah mengkaji 9 tariqah sufi di Tanah Melayu satu ketika dahulu dimana ketika itu mereka masih berpegang kepada amalan sufi yang sebenar iaitu mengajar manusia menjadi baik. Ini adalah asas tariqah. Sufi bukannya ilmu rahsia. Sebab itulah Durr al-Manzhum, kitab sufi yang terkenal satu masa dahulu telah diperintah oleh Sultan Melaka untuk diterjemah di Pasai supaya ianya dipelajari.


Transcendental Unity of Religion (Kesatuan Agama)
:
Faham ini ada kaitan dengan cubaan politik yang hendak menguasai dunia. Jika pun sarjana Islam bersetuju pendapat dengan sarjana bukan Islam itu tidak bermakna kesatuan agama itu boleh dilakukan. Jika perkara ini berlaku di sini, maka ianya perlu diawasi kerana ianya pasti berkaitan dengan agenda politik yang ingin menguasai pemerintahan. Cubalah kita andaikan, adakah kemungkinan penganut agama lain mahu bersolat jemaah bersama-sama umat Islam di dalam masjid. Jadi bagaimana boleh dikatakan bahawa agama-agama itu boleh disatukan?


Sifat 20 Allah. Adakah diambil dari Greek?
:
(Kata Prof Syed Muhammad Naquib) Siapa kata? Orang Greek tidak menerima wahyu. Jika ada orang Greek menerima wahyu maka ia pastilah dari wahyu yang telah dibawa oleh Nabi-nabi dari Bani Israel. Sifat 20 bukan dari Greek atau sebagainya sebaliknya adalah dari al-Quran.


Tentang Islamisasi :

Islamization tidak boleh disebut sebagai Islamicization. Prof mengaitkannya dengan istilah metaphysics of Islam yang tidak boleh disebut sebagai Islamic metaphysics. Islamic bermakna kita memasukkan elemen Islam. Ini bukanlah maksud sebenar yang hendak disampaikan. Keadaan ini samalah seperti religion of Islam bukannya Islamic religion. Sebab itu Islam bukannya terletak pada elemen atau benda dan sebagainya seperti islamic bicycle dan sebagainya. Kita kena perlu faham betul-betul makna Islam.


Tulisan (Isi Kandungan buku) Prof yang susah hendak difahami :

Saya (kata Prof) menulis dengan meneliti terlebih dahulu setiap perkataan yang betul sebelum ia dimasukkan. Maka si pembaca perlu mengikut setiap patah perkataan yang saya tulis dan cari maknanya. Buku yang saya tulis bukan buku cerita dan isi kandungannya memerlukan tafakkur. Ada professor yang membacanya berpuluh kali tetapi masih tidak faham. Ada orang mengatakan bahawa tulisan saya yang berkaitan dengan metafizik susah hendak difahami tetapi buku saya yang bukan berkaitan dengan metafizik pun mereka tidak juga faham. Sebagai contoh, buku Trengganu Inscription masih ramai yang belum faham tentang isi kandungannya padahal ia bukannya berkaitan metafizik. Inilah yang berlaku apabila manusia lebih percaya kepada mesin bukannya daya intelek. Sebab itu daya pemikiran manusia menjadi terbatas.

Suatu Penjelasan (2)

Dalam usaha kita untuk memperluaskan kebenaran pasti dengan memiliki tunjang akar yang kukuh dan bukannya di ambil ataupun di ceduk semberono dengan menggabungkan akal semata-mata.Namun itulah hakikat yang perlu kita ketahui bahawa permainan manusia yang gemar di gelar ilmuwan semakin berani mengeluarkan hujah-hujah yang bertentangan dan hancur dalam menguasai adab(loss of adab).Produk-produk ini yang saya maksudkan adalah mereka yang mendokong pemikiran aqal dengan menceduk kata -kata falsafah barat tanpa menguasai perinsip tauhid.Mereka gemar meluaskan cabang-cabang ilmu tapi mematikan akar epistemologi ilmu sendiri.Itulah di katakan al attas akhirnya menghasilkan golongan yang lemah segala adab.

GAGAL MEMAHAMI DASAR EPISTEMOLOGi

Berpegang dengan teguh perinsip dan akidah ahll sunnah wa al jammaah bahawa islam adalah kebenaran yang mutlak iautu ajaran yang di bawa oleh rasulullah bertujuan menegakkan kebenaran dan menhapuskan kebatilan.Akidah ASWJ berpegang pada perinsip bahawa hakikat suatu perkara tetap dan ilmu di mengenainya dapat di capai.Seperti di jelaskan dalam epistemologi islam bahawa Allah adalah sumber kebenaran dan ilmu dengan di peranakan bahawa quran sebagai pemisah yang HAQQ dan BATIL.
Sesungguhnya akal mendapat tempat yang istimewa dalam islam namun ia tidak dapat menyamai kedudukan wahyu sebagai sumber kebenaran.

Perbezaan ilmuan islam dengan oreantalis barat amat jauh ketara walaupun kedua-duanya mengkaji islam.Malangnya 'FRAMEWORK' pengajian islam barat jauh tersasar daripada akidah tauhid kerana umumnya menumpukan kepentingan yang berhasilkan cara pandang yang berbeza dengan islam.Berbeza terhadap tradisi keilmuan islam dalam mempelajarinya semestinya seseorang itu melalu susur jalur dan saluran di percayai melalui ulama muktabar dalam tradisi ilmu.

Saya melihat fenomena pendominasi barat amat terjadi masa ini apabila benih barat berjaya menghasilkan susuk tubuh liberal dan mendominasi sekularisme yang di dokong khususnya mereka yang sama-sama mengkaji tentang islam gagal memahami ilmu.
Mengenai epistemologi islam,khusus dalam makna definisi ilmu al attas telah memberi erti ilmu dalam pandangan alam islam bahawa ilmu secara hadd(pembatasan) adalah mustahil.Ilmu hanya dapat di definisikan secara tepat secara rasm(deskriptif).
Menurut al attas ilmu adalah kepercayaan yang benar dan suatu aspek spritual manusia.Oleh itu ilmu adalh iman dan kebenaran kerana melibatkan spritual dan pengesahann fizik.(saya akan ulas lebih lanjut kaitan ilmu ini pada artikal akan datang)

GAGAL MENEGAKKAN PERINSIP KESATUAN DAN KESEPADUAN ILMU?

Soal kesatuan dan kesepaduan ilmu ini terbit dari perinsip agung di dalam islam iaitu TAUHID.Saya fokuskan di sini bahawa tidak ramai ilmuwan yang mengambil peduli tentanp perinsip ini padahal perinsip ini amat penting dalam memajukan intelektual.
Kegagalan memahami perinsip ini samalah gagal memajukan semua cabang ilmu yang berguna secara seimbang dan sepadu.Ramai ilmuwan yang berpendapat kurang penting perinsip 'KESATUAN DAN KESEPADUAN ILMU" dan di pandang bersahaja untuk di perjuangkan.

Kebanyakkan ilmuwan barat sudah lama meninggalkan perinsip ini dalam semua lapangan pemikiran alasannya mustahil menegakkan perinsip ini kerana ilmu telah berkembang luas dan juga terlalu padat di satukan.

Inilah kesilapan mereka walaupun ada sesetengah mereka seperti albert eintein meyakini cita-cita murni ini.

Menurut pada perinsip ini bahawa ilmu adalah haqq daripada tuhan dan tuhan sendiri adalah kebenaran mutlak.semua ilmu berhubung kait antara satu sama lain

KESIMPULAN RINGKAS

akar umbi ilmu adalah wahyu.teras ilmu adalah tauhid iaitu ilmu tentang keesaan tuhan,ilmu yg mempertemukan semua cabang sepertimane juga batang dan teras pokok mmpertemukan semua cabang dan rantingnya.mengapa kebanyakan ilmuwan zaman ini gagal menegakkan perinsip kesatuan dan kesepaduan ilmu?
Mereka ingin mengekalkan cabang dan ranting pohon ilmu tetapi dengan membuang akar umbi dan terasnya akhirnya menghasilkan pohon yang mati.