Isu Herald

oleh:DR KHALIF MUAMMAR

Pada 31 Disember 2007 Akhbar New Straits Times melaporkan bahawa Kementerian Keselamatan Dalam Negeri telah memberikan kelulusan pembaharuan permit penerbitan bagi akhbar Katolik Herald: The Catholic Weekly. Sebelum itu pihak Kerajaan telah menangguhkan pembaharuan permit tersebut untuk meneliti sama ada penggunaan kalimat Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam agama Kristian sesuatu yang wajar. Langkah ini dibuat setelah masyarakat Islam melahirkan rasa tidak puas hati. Ternyata Kerajaan telah mengambil kira pandangan beberapa pihak yang tidak mahu penggunaan kalimat tersebut dibenarkan. Walaupun akhirnya permit diberikan tetapi Kementerian tetap melarang akhbar terbabit untuk menggunakan perkataan Allah sebagai Tuhan agama Kristian.

Akhbar Harakah yang menjadi lidah rasmi pembangkang pada keluaran 1-15 Januari pula menulis bahawa Ketua Dewan Ulama Pas mengatakan bahawa tidak salah penganut Kristian menggunakan kalimat Allah dengan alasan ia telahpun digunakan sebelum ini di beberapa Negara tertentu. Di sini kesan yang tampak adalah “pandangan kami semestinya berbeza dengan penguasa”: apapun pandangan lawan adalah salah dan apapun pandangan kawan adalah benar. Dengan pendekatan tersebut ia diharap dapat menunjukkan betapa toleransinya pihak pembangkang kepada orang bukan Islam. Tentunya ini diharapkan dapat meraih simpati orang bukan Islam terhadap pembangkang. Persoalannya adalah apakah ini cara yang tepat untuk memperoleh sokongan? Dari pihak Muslim liberal, A Farish Noor mengatakan bahawa kalimat Allah tidak boleh dimonopoli oleh umat Islam. Dengan demikian sekali lagi telah menyalahtafsirkan bantahan umat Islam sebagai satu ketaksuban dan sikap tidak bertoleransi. Tanpa melihat dan cuba memahami hujah-hujah yang dikemukakan oleh pihak-pihak yang membantah.

Kalimat Allah adalah istilah teknikal yang khusus untuk merujuk kepada nama Tuhan bagi orang Islam. Penggunaan kalimat ini oleh para pendakwah Kristian mempunyai tujuan mengelirukan umat Islam. Mesej yang tersembunyi adalah Tuhan penganut Kristian tidak berbeza dengan Tuhan orang Islam. Kerana mereka telah menerima konsep pluralisme agama bahawa semua agama pada hakikatnya sama sahaja dan kebenaran sesuatu agama tidak bersifat ekslusif. Faham pluralisme agama ini telah diterima oleh sebahagian besar masyarakat bukan Islam. Hanya umat Islam sahaja bertegas bahawa Islam sahaja agama yang benar sesuai dengan ajaran al-Qur’an. Jika umat Islam telah menerima bahawa Tuhan agama Kristian dan agama Islam adalah sama maka lebih mudah untuk memujuk mereka bertukar agama (murtad). Seharusnya di Negara-negara yang majoritinya umat Islam, orang Kristian perlu lebih menghormati sensitiviti orang Islam. Namun sebaliknya golongan minoriti ini cuba menggugat kepentingan golongan majoriti. Mereka perlu sedar bahawa di negara-negara majoriti Muslim ini umat Islam masih memiliki semangat keagamaan yang baik sehingga segala usaha untuk menggugat kepentingan umat Islam akan menimbulkan kekecohan dan bantahan yang kuat daripada masyarakat Islam.

Pada hari ini kalimat Allah memang bukan hanya digunakan oleh umat Islam. Kalimat Allah dibenarkan, atau lebih tepat lagi dibiarkan, digunakan oleh masyarakat Kristian di Indonesia dan Lubnan kerana pemerintahan sekular seperti Indonesia dan Lubnan tidak akan campur tangan dalam hal-hal berkaitan dengan agama tertentu. Malah di negara seperti Lubnan kelompok Kristian mempunyai pengaruh yang besar kepada kerajaan. Jadi tindakan membiarkan pihak Kristian menggunakan kalimat Allah bukan satu toleransi tetapi satu penggadaian hak dan kedaulatan. Ia adalah satu kerugian yang besar dan kelemahan yang nyata apabila umat Islam membiarkan penganut agama lain mendangkalkan konsep dan istilah penting dalam Islam. Perkataan Allah, Solat, Nabi, Rasul, dsb. membawa makna yang tersendiri setelah digunakan oleh umat Islam berkurun lamanya. Kalimat-kalimat ini telah menjadi bahagian penting daripada pandangan sarwa Islam (Islamic worldview). Jika ia dikaburkan maka sudah tentu akan memberi kesan kepada pemikiran umat Islam.

Sesiapa pun yang ingin memahami persoalan ini perlu sedar bahawa beberapa istilah keagamaan tertentu telah menjadi milik umat Islam. Sebarang tindakan mengimpotnya boleh dikira sebagai penyalahgunaan dan pencabulan terhadap agama tersebut. Oleh itu istilah keagamaan ini, dari agama manapun ia datang, mesti dihormati oleh penganut agama lain. Seperti istilah Pope, Paderi (priest), Sami (Monk) dalam agama Kristian tidak boleh digunakan sewenang-wenang oleh agama lain. Bukan sahaja kerana ia telah sinonim dengan agama penggunanya tetapi juga kerana kalimat ini telah diwarnai atau mengandungi pandangan sarwa penggunanya.

Kita perlu jelas bahawa sikap Islam terhadap agama lain tidak seperti yang digambarkan oleh media Barat. Sejarah menunjukkan umat Islamlah yang paling toleran terhadap penganut agama lain. Toleransi hanya akan wujud apabila ada rasa hormat. Jadi tumpuan perlu diberikan kepada sikap dan bukan ajaran sesuatu agama. Toleransi tidak bermakna melucutkan kepercayaan dan keyakinan seseorang demi mewujudkan keharmonian. Kita perlu sedar bahawa wacana pluralisme yang dicanangkan oleh Barat adalah wacana yang berasaskan kepada sekularisme dan falsafah-falsafah yang memusuhi agama. Bagi umat Islam, agama adalah sesuatu yang terakhir untuk dikorbankan. Sedangkan bagi majoriti masyarakat Barat agama sudah tidak memberi apa-apa makna dalam kehidupan lagi.

Tiba saatnya umat Islam, dengan diwakili oleh ulama dan umaranya, berfikir cerdas. Menimbang sesuatu perkara secara ilmiah dan mendalam tanpa wujud unsur kepentingan sesaat. Dalam membahas sesuatu isu khususnya berkaitan dengan sensitiviti umat Islam hendaklah mempertimbangkannya dengan baik dan tidak mengambil kesimpulan secara pantas/adhoc. Kepentingan politik adakalanya perlu diketepikan dan keutamaan patut diberikan kepada kepentingan keseluruhan masyarakat.

*Penulis adalah Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamaangkal dun Melayu (ATMA), UKM.


#baca jugak ini
Kamuflisan Umat Kristiani di Indonesia
#zulkifli nordin-natrah ke2

P/S:Merasa bimbang lagi bila isu ini tidak di adili berbanding isu reaksi politik semata-mata.Di mana mahasiswa yang sibuk mengetuai dan semangat demo untuk bersuara dalam isu ini seolah tidak beradab dalam mengadili isu.
sekali lagi berasa pelik dan dangkal dengan majlis raja-raja melayu yang bisu dengan kebatilan

0 comments: